Saturday, August 29, 2009

Tersilap menegur kesilapan

Sebenarnya ada suatu pengajaran yang penting daripada cerita Hassan dan Hussein menegur seorang tua mengambil wudhuk.Dalam cerita tersebut, kedua-dua cucu nabi s.a.w tersebut tidaklah menegur secara direct akan kesalahan orang tua itu mengambil wudhuk. Sebaliknya, mereka hanya menjemput orang tua itu sebagai pengadil untuk menilai siapa diantara mereka yang lebih baik dalam berwudhuk.Justeru itu, dapatlah orang tua itu mengetahui adanya kecacatan dalam dia mengambil wuduk. Kehebatannya ialah tiada hati yang terasa atau tercabar dalam pembetulan ini. Alangkah bijaknya Hassan dan Hussien ini!!

Sebaliknya saya tidak terfikir akan cerita ini apatah lagi mengambil pengajaran daripadanya. Saya telah menegur seorang yang sangat lebih tua dari usia saya yang tersalah membaca Al-Fatihah sewaktu mengimamkan solat fardhu. Kesalahannya bukan sekali. Tetapi setiap kali membaca Al-Fatihah. Seingat saya sudah tiga kali solat fardhu dia masih melakukan kesilapan yang sama.
Saya bertekad untuk menegurnya. Saya bermula dengan memohon maaf dengan nada yang serba salah serta sangat berbahasa. Kononnya menegur secara lemah lembut.Lalu menyatakan tujuan saya untuk menegurnya. Tetapi ianya berakhir dengan kehampaan kerana orang yang lebih tua itu tidak mengaku kesalahannya. Sesungguhnya dia yakin telah membaca dengan betul. Dari nadanya ada riak-riak orang merajuk, dia bertegas sudah tidak mahu menjadi imam lagi selepas peristiwa tersebut. Saya sekali lagi memohon maaf kerana mungkin tersalah dengar sewaktu dia membaca Al-Fatihah itu. Sebenarnya sedikit hampa.

Apa yang terpampang ini hanyalah kesilapan saya menegur kesilapan yang lain. Setelah merenung sedalam-dalamnya, serta bertanya kepada beberapa orang yang lebih arif, sebenarnya lebih baik jika kita mewakil kepada orang yang lebih dihormati seperti Imam atau orang-orang yang lebih rapat dengannya untuk menegur kesilapan itu. Insya Allah impaknya lebih positif. Sebagai akibatnya, orang tua tersebut sudah jarang kelihatan pergi ke surau. Dia hanya ke surau sewaktu ada majlis tahlil serta majlis-majlis tertentu sahaja. Mungkin hatinya yang dewasa itu telah terpukul dengan teguran saya yang lebih muda ini. Penyampaian saya mungkin tiada langsung hikmahnya pada hati yang dewasa sepertinya. Kehilangannya sebagai seorang ahli kariah di surau sangat dirasakan! Naik runsing saya memikirkannya.
Alhamdulillah, sejak bulan Ramadhan ini dia selalu kelihatan pula.
Selepas ini kita semua harus sekali berhati-hati menegur orang yang lebih tua kerana saya selalu mendengar orang tua berkata; "Aku yang makan garam terlebih dahulu".. Kata-kata ini sangat berhantu!!!
Yang tua dihormati, yang muda disayangi!

3 comments:

  1. ha ha ha satu penelitian yg bagus, lebih baik wakilkan pada orang lain yang lebih dihormati...... Hidup Melayu!!!

    ReplyDelete
  2. Salam. Sepatutnya, dalam bab ibadat ni... kalau ada yg menegur, kita patut terima dengan berlapang minda, tidak menyangka org yg menegur nak tunjuk pandai... patutnya bersyukur kerana ada orang ingin membetulkan kesalahan kita.

    ReplyDelete
  3. Salaam...Dari pengamatan saya, anda ikhlas ingin memperbaiki kerana anda perihatin tentangnya dan tentang makmum yg mengikutinya. Sekiranya diterima dengan berlapang dada saya yakin dia mendapat keuntungan dari teguran anda dan keluar dari episod itu dengan menjadi lebih baik...bagi yang menegur pula, berfikir dahulu, apakah cara terbaik agar message yang hendak disampaikan berhasil disampaikan dan diterima....wallahua'lam.

    ReplyDelete