Friday, November 6, 2009

Bermula sebuah keluarga



Bayangkan dua tahun setengah berjauhan dengan isteri kerana melanjutkan pelajaran,tiba-tiba ianya berakhir pada hari ini. Kegembiraan ini ditambah lagi dengan kelahiran zuriat sulungku yang diramalkan pada sekitar hujung bulan Disember ini,Insya Allah. Semua ini nikmat dari kudrat dan IrodatNYA.

Sangat manis kenangan perpisahan isteriku dengan rakan-rakan pengajiannya. Aku dapat melihat serta merasainya. Mereka merancang suatu majlis perpisahan yang sangat meriah. Semasa perjalanan pulang, kami singgah di Melaka untuk bersama-sama menghabiskan masa dengan melawat tempat-tempat bersejarah di sana sambil menangkap gambar sebagai kenangan terakhir bersama.Terasa seolah-olah melawat sambil belajar sewaktu sekolah dulu. Setelah penat berjalan,kami menginap di Everly Resort Hotel, Malacca. Sebenarnya inilah pertama kali aku dan isteri berpeluang menginap di hotel. Keesokan paginya aku dan isteri bertolak pulang kerumah dengan kereta yang penuh dengan barang-barangnya.

Selepas ini aku tak perlu lagi ke Hentian Pudu yang sesak dan membosankan itu untuk hantar isteri menaiki bas ke Johor. Aku sangat benci Hentian Pudu yang banyak berjasa ini. Terdapat ramai ulat-ulat tiket yang bodoh dan tak perlu wujud itu. Peniaga-peniaga gerai makan di sini kelihatan sangat lapar yang lebih lapar dari pelanggan-pelanggan yang makan di gerainya. Dengan sesuka hatinya mereka menghalang laluan orang ramai supaya duduk makan di kedai mereka. Jalannya yang sangat sesak.Sudah beberapa kali aku disaman kerana parking di bahu jalan di sekitar Hentian Pudu ini.Aku tidak perlu melalui semua ini lagi.

Masalah sekarang,bila lagi pihak yang menyelenggara quaters kakitangan hospital akan memanggil aku untuk menyerahkan kunci rumah. Khabarnya nama aku telah tersenarai. Seboleh-bolehnya aku ingin menyambut putra sulungku di sebuah rumah yang lebih selesa.

Thursday, October 29, 2009

Bukan salah Khamis

Aku tidak mempercayai bahawa adanya hari-hari tertentu yang membawa sial dalam kehidupan manusia. Contohnya pada hari Isnin tidak boleh potong kain kerana dibimbangi berlaku kesilapan akibat daripada kesialan hari tersebut. Mungkin juga musibah yang berlaku pada hari yang sama yang berulangkali terhadap seseorang yang menyebabkan ianya terus ditanam dalam hati seseorang itu hari tersebut sebagai hari sial. Mungkin kita boleh berhati-hati bila tiba hari yang tersebut,tetapi janganlah menamakan ianya hari yang sial. Ini soal aqidah!
Sebenarnya hari ini hari yang tidak menggembirakan sangat bagi aku. Pada awal pagi lagi aku telah gagal untuk mencucuk 'fistula' seorang pesakit dialysis yang pada mulanya aku menganggapnya sangat mudah.Tetapi malangnya aku gagal sebanyak tiga kali. Habis bengkak lengan Wong Sak Ying. Pada mulanya aku telah berjaya. Mungkin sewaktu hendak makan,lalu dia menggerakkan tangannya,jarum telah mengenai dinding 'vein'nya dan terus membengkak. Sungguh tidak seronok kerana dua kali percubaan selepas itu aku terus gagal mencari aliran darah yang 'smooth'. Perasaan ini terbawa-bawa sehinggalah waktu dhuha. Alhamdulillah..ia beransur hilang setelah perut diisi dengan sebungkus nasi lemak.
Mungkin aku akan lebih berhati-hati pada hari Khamis depan..

Tuesday, September 8, 2009

Teman Sejati

Pada minggu lepas aku telah menerima satu SMS daripada Abdullah, seorang kawan yang aku kenali di surau Al-Mawaddah dekat rumah. SMS itu berbunyi
'Assalamualaikum.U r missing solat (subuh berjemaah)from last 2days.Don't sleep too much.Try to come solat berjemaah.Insyallah..'
Message ini sangat ringkas tetapi mempersonakan. Jarang atau hampir tiada kawan yang sebegini, cuba mengingatkan tentang solat. Lebih-lebih lagi solat subuh. Rata-rata masyarakat bagaikan tidak mengetahui adanya sesi solat subuh berjemaah di surau-surau atau masjid pada setiap awal pagi. Termasuklah aku!!
Dalam hatiku,mungkin kawan seperti inilah yang disebut teman sejati. Abdullah sebenarnya berasal dari Pakistan,berbangsa pashtun. Dia seorang yang sangat taat solat berjemaah di surau. Kadang-kadang Abdullah lah menjadi bilal,imam dan ma'mun juga. Kerana Abdullah keseorangan di surau Al-Mawaddah. Ingin sekali aku menjadi taat seperti Abdullah..

Saturday, August 29, 2009

Tersilap menegur kesilapan

Sebenarnya ada suatu pengajaran yang penting daripada cerita Hassan dan Hussein menegur seorang tua mengambil wudhuk.Dalam cerita tersebut, kedua-dua cucu nabi s.a.w tersebut tidaklah menegur secara direct akan kesalahan orang tua itu mengambil wudhuk. Sebaliknya, mereka hanya menjemput orang tua itu sebagai pengadil untuk menilai siapa diantara mereka yang lebih baik dalam berwudhuk.Justeru itu, dapatlah orang tua itu mengetahui adanya kecacatan dalam dia mengambil wuduk. Kehebatannya ialah tiada hati yang terasa atau tercabar dalam pembetulan ini. Alangkah bijaknya Hassan dan Hussien ini!!

Sebaliknya saya tidak terfikir akan cerita ini apatah lagi mengambil pengajaran daripadanya. Saya telah menegur seorang yang sangat lebih tua dari usia saya yang tersalah membaca Al-Fatihah sewaktu mengimamkan solat fardhu. Kesalahannya bukan sekali. Tetapi setiap kali membaca Al-Fatihah. Seingat saya sudah tiga kali solat fardhu dia masih melakukan kesilapan yang sama.
Saya bertekad untuk menegurnya. Saya bermula dengan memohon maaf dengan nada yang serba salah serta sangat berbahasa. Kononnya menegur secara lemah lembut.Lalu menyatakan tujuan saya untuk menegurnya. Tetapi ianya berakhir dengan kehampaan kerana orang yang lebih tua itu tidak mengaku kesalahannya. Sesungguhnya dia yakin telah membaca dengan betul. Dari nadanya ada riak-riak orang merajuk, dia bertegas sudah tidak mahu menjadi imam lagi selepas peristiwa tersebut. Saya sekali lagi memohon maaf kerana mungkin tersalah dengar sewaktu dia membaca Al-Fatihah itu. Sebenarnya sedikit hampa.

Apa yang terpampang ini hanyalah kesilapan saya menegur kesilapan yang lain. Setelah merenung sedalam-dalamnya, serta bertanya kepada beberapa orang yang lebih arif, sebenarnya lebih baik jika kita mewakil kepada orang yang lebih dihormati seperti Imam atau orang-orang yang lebih rapat dengannya untuk menegur kesilapan itu. Insya Allah impaknya lebih positif. Sebagai akibatnya, orang tua tersebut sudah jarang kelihatan pergi ke surau. Dia hanya ke surau sewaktu ada majlis tahlil serta majlis-majlis tertentu sahaja. Mungkin hatinya yang dewasa itu telah terpukul dengan teguran saya yang lebih muda ini. Penyampaian saya mungkin tiada langsung hikmahnya pada hati yang dewasa sepertinya. Kehilangannya sebagai seorang ahli kariah di surau sangat dirasakan! Naik runsing saya memikirkannya.
Alhamdulillah, sejak bulan Ramadhan ini dia selalu kelihatan pula.
Selepas ini kita semua harus sekali berhati-hati menegur orang yang lebih tua kerana saya selalu mendengar orang tua berkata; "Aku yang makan garam terlebih dahulu".. Kata-kata ini sangat berhantu!!!
Yang tua dihormati, yang muda disayangi!