Sudah berkali ku dengar
sudah puas ku lihat
dan telah sebati dalam masyarakat
ada yang mencemuh
ada yang suka
ada yang malu
adakah yang berfikir
Mana jati dirimu yang dulu-dulu
mana malumu pada orang tua-tua
mana perginya tertib Melayumu
yang selalu dibangga-bangga pemimpinmu
ke mana sebenarnya hala tujumu
Atau mungkin terlalu muda
untuk menjadi hamba
ingin menunggu puasnya segala halwa
kalaulah puas
kalau tak puas-puas
Dalam mencari di mana silapnya
merenung dengan ilmu-ilmuNya
melihat jauh ke dalam mata hati
membuang segala nafsu syahwat yang
akan menyekat segala kebenaran
Bukan kerana buta
bukan kerana jahil
bukan kerana ingkar
tapi kerana terlalu mengikuti
tanpa sedar kita sudah terlalu jauh
mungkin jauh ke dalam lubang cacing
macam yang telah diucap nabi dulu
Kita sudah semakin lewat
pertukaran dimensi pasti berlaku
segala yang digambar sudah banyak yang terlukis
tunjukkan di mana dirimu
mungkinkah sudah terselit dalam lukisan hakikat ini
Seremban, Negeri Sembilan
Januari 2006
Karya ini pernah di letakkan di laman Nafastari pada 06 Mac 2007