Monday, August 22, 2011

Melayu

Sudah berkali ku dengar
sudah puas ku lihat
dan telah sebati dalam masyarakat
ada yang mencemuh
ada yang suka
ada yang malu
adakah yang berfikir

Mana jati dirimu yang dulu-dulu
mana malumu pada orang tua-tua
mana perginya tertib Melayumu
yang selalu dibangga-bangga pemimpinmu
ke mana sebenarnya hala tujumu

Atau mungkin terlalu muda
untuk menjadi hamba
ingin menunggu puasnya segala halwa
kalaulah puas
kalau tak puas-puas

Dalam mencari di mana silapnya
merenung dengan ilmu-ilmuNya
melihat jauh ke dalam mata hati
membuang segala nafsu syahwat yang
akan menyekat segala kebenaran

Bukan kerana buta
bukan kerana jahil
bukan kerana ingkar
tapi kerana terlalu mengikuti
tanpa sedar kita sudah terlalu jauh
mungkin jauh ke dalam lubang cacing
macam yang telah diucap nabi dulu

Kita sudah semakin lewat
pertukaran dimensi pasti berlaku
segala yang digambar sudah banyak yang terlukis
tunjukkan di mana dirimu
mungkinkah sudah terselit dalam lukisan hakikat ini

Seremban, Negeri Sembilan
Januari 2006
Karya ini pernah di letakkan di laman Nafastari pada 06 Mac 2007

Tuesday, March 9, 2010

Sepetang di Rawang

Tiba-tiba aku terasa sangat kaya,
Ada rumah yang sangat selasa,
Ada anak yang sangat comel,
Ada motor juga kereta,
Walhal bukan ada duit berjuta-juta.

Sehingga terasa malu untuk meminta-minta padaNYA,
Terasa syukurku belum sama dengan nikmatNYA,
Aku kaya kerana ramai lagi yang miskin,
Ramai lagi yang tidak berumah,
Ramai lagi yang hanya menaiki bas,
Dan duitku juga belum pernah kehabisan.

Miskin itu bukan untuk dikeji,
Miskin itu bukan tanda tuhan membenci,
Kaya juga bukan semestinya tuhan menyayangi,
Bukan pula untuk berbangga diri,
Kaya dan miskin hanya sama-sama diuji.

Sunday, January 10, 2010

Aku seorang Ayah


Tidak keterlaluan jika dikatakan sambutan maal hijrah tahun ini adalah yang paling bermakna dalam hidup saya.Ini bukan kerana kemeriahan sambutan bulan muharam ataupun acara memasak bubur asyura sebagaimana lazimnya.Tetapi kegembiraan ini adalah kerana lahirnya seorang putera yang diberi nama Wan Umar bin Wan Ahmad lutfi.Zuriatku yang pertama hasil perkongsian hidup dengan isteri yang tercinta lagi dikagumi.Nama itu dipilih bersempena dengan kehebatan khalifah Umar r.a yang sangat berani itu.Secara kebetulan,atuk saya pun bernama Wan Omar.Moga2 ada keberkatan dengan pemilihan nama ini. Maka pada 2 Muharam 1431 bersamaan 19 Dizember 2009,pada pukul 5am tergalaslah satu lagi tanggungjawab yang cukup besar di atas bahuku ini.
Pengalaman pertama menyambut kelahiran ini sedikit sebanyak menjadi pengalaman yang berguna pada hari yang mendatang.Pada sekitar 9am saya mendapat panggilan daripada isteri yang berada seorang diri dirumah ketika saya sibuk membuat locum.Setelah tergesa-gesa menyiapkan tugasan,saya segera pulang kerumah dan terus menghantar isteri ke Hospital Serdang.Ketika itu,isteri saya belum lagi sakit.Cuma keluar air ketumban.Setelah membuat pendaftaran,dia di masukkan ke wad.
Lebih kurang pukul 6pm,barulah isteri merasa sakit.Kesakitan ini bermula agak perlahan dan semakin lama semakin menyakitkan.Pada sekitar pukul 11pm,Setelah contraction berlaku dengan lebih kerap,barulah isteri di hantar ke labour room.Dalam labour room,suami dibenarkan menemani isteri. Saya semestinya berada disisinya tidak putus-putus menenang dan memberi kata-kata semangat.Tidak ragu-ragu lagi,ketika dan saat inilah para ibu dikatakan bertarung nyawa untuk sebuah kelahiran.Tidak sanggup rasanya melihat isteri berkeadaan begitu.Apakan daya,inilah jalan kehidupan yang harus dihadapi oleh semua ibu yang didalamnya mengandungi pelbagai hikmat yang boleh semua fikirkan.Jikalau kesakitan itu boleh dikongsi,mahu saja saya menanggung sebahagian rasa itu.Segala petua dan ayat-ayat yang dipelajari digunakan.Semua staff yang bertugas bertungkus-lumus membantu dan tak putus-putus memberi semangat kepada isteri.Sesekali dia meraung dan menjerit kesakitan.Sungguh azab saat itu.Sesungguhnya aku sangat mengagumi tanggungjawab kaum hawa ini.Dengan segala kudrat yang masih bersisa,isteri terus meneran dan meneran..
Pada pukul 5am,akhirnya lahirlah seorang insan yang bernama Wan Umar yang bakal menjunjung segala titah dan perintah Allah yang menciptakannya.Dialah yang diibaratkan dengan kain putih,dan akulah bertanggungjawab mencorakkannya.Alhamdulillah,semuanya selamat..Terima kasih kepada isteri yang melahirkan Umar yang comel.Terima kasih juga kepada semua kakitangan Hospital Serdang yang terlibat.Pastinya Allah memberi ganjaran yang setimpal diatas tugas mulia anda semua.

Friday, December 11, 2009

Hari Keluarga

Pemandangan dari bilik penginapan.
Bersama kawan2 di hadapan lobby setelah majlis makan malam.


Pada 21 dan 22 hb 11 baru2 ini, Jabatan tempat saya berkerja telah mengadakan Hari Keluarga bertempat di Berjaya Hill,Bukit Tinggi Pahang. Seingat saya, inilah kali pertama hari keluarga di adakan semenjak aku bertugas di sini. Unit dibuka seawal 5am bagi memastikan semua pesakit selesai menjalankan rawatan dialysis sebelum pukul 3pm. Setelah berhempas pulas menyelesaikan tugas, akhirnya kami berkonvoi menuju Bukit Tinggi dengan kereta masing-masing. Lebih kurang dua jam perjalanan, akhirnya kami sampai ke Bukit Tinggi. Kami semua menetap di Colmar Tropicale. Sungguh indah pemandangan di sini. Bangunan yang dibina semuanya bercirikan seni bina Perancis.Terasa bagaikan bercuti di luar negara pula. Namun cuacanya tidaklah sesejuk yang saya fikirkan. Masih lagi terbayang-bayang dua pasang 'swan' berenang di dalam kolam bawah jambatan yang dibina dengan teguhnya itu.



Aktiviti yang dirancang,berjalan dengan meriahnya walaupun tidak dapat menuruti jadual tepat pada waktunya. Acara yang paling meriah pada majlis makan malam itu ialah ketika persembahan secara berkumpulan berlangsung. Ada kumpulan yang menari poco-poco,ada yang memperagakan tarian arab dan ada juga kumpulan yang menari mengikut lagu 'Bunyi Gitar'. Kagamatan hampir-hampir meruntuhkan pentas pada malam itu. Terutama ketika 'Bos' turut sama- sama menari. Saya yang ditugaskan sebagai MC malam itu agak tergagap mengacarakan majlis malam itu.Masa terlalu suntuk untuk membuat persediaan,tambahan pula saya bukan ahli dalam bidang pengacaraan ini. Apapun ia tidaklah terlalu menjengkelkan.
Anak-anaklah merupakan orang paling gembira pada malam itu. Mereka disajikan dengan pelbagai sukaneka dan banyak sekali hadiah diberikan. Ada yang namanya tidak dipanggil pun turut naik kepentas untuk menerima hadiah. Sungguh meriah dan melucukan. Bagi staff pula setiap orang tidak terlepas menerima hadiah cabutan bertuah.

Kenangan bersama isteri di hadapan dewan seminar Colmar Tropicale.

Pada hari terakhir sempat juga saya dan isteri serta rakan-rakan melawati taman 'Japanese Village' dan 'Botanical Garden' dengan menaiki kenderaan yang disediakan pihak Colmar Tropicale.Ketinggian Taman ini mencapai 3500kaki dari paras laut. Seketika waktu isteriku hampir terlupa bahawa dia sedang sarat mengandung kerana terlalu bersemangat memanjat tangga taman ini. Banyak sekali gambar yang di rakamnya.Pendek kata hampir setiap sudut yang menarik tidak terlepas untuk di rakam dengan kamera compact Panasonic Lumix nya itu. Terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini. Moga tahun depan diadakan lagi hari keluarga seperti ini.

Friday, November 6, 2009

Bermula sebuah keluarga



Bayangkan dua tahun setengah berjauhan dengan isteri kerana melanjutkan pelajaran,tiba-tiba ianya berakhir pada hari ini. Kegembiraan ini ditambah lagi dengan kelahiran zuriat sulungku yang diramalkan pada sekitar hujung bulan Disember ini,Insya Allah. Semua ini nikmat dari kudrat dan IrodatNYA.

Sangat manis kenangan perpisahan isteriku dengan rakan-rakan pengajiannya. Aku dapat melihat serta merasainya. Mereka merancang suatu majlis perpisahan yang sangat meriah. Semasa perjalanan pulang, kami singgah di Melaka untuk bersama-sama menghabiskan masa dengan melawat tempat-tempat bersejarah di sana sambil menangkap gambar sebagai kenangan terakhir bersama.Terasa seolah-olah melawat sambil belajar sewaktu sekolah dulu. Setelah penat berjalan,kami menginap di Everly Resort Hotel, Malacca. Sebenarnya inilah pertama kali aku dan isteri berpeluang menginap di hotel. Keesokan paginya aku dan isteri bertolak pulang kerumah dengan kereta yang penuh dengan barang-barangnya.

Selepas ini aku tak perlu lagi ke Hentian Pudu yang sesak dan membosankan itu untuk hantar isteri menaiki bas ke Johor. Aku sangat benci Hentian Pudu yang banyak berjasa ini. Terdapat ramai ulat-ulat tiket yang bodoh dan tak perlu wujud itu. Peniaga-peniaga gerai makan di sini kelihatan sangat lapar yang lebih lapar dari pelanggan-pelanggan yang makan di gerainya. Dengan sesuka hatinya mereka menghalang laluan orang ramai supaya duduk makan di kedai mereka. Jalannya yang sangat sesak.Sudah beberapa kali aku disaman kerana parking di bahu jalan di sekitar Hentian Pudu ini.Aku tidak perlu melalui semua ini lagi.

Masalah sekarang,bila lagi pihak yang menyelenggara quaters kakitangan hospital akan memanggil aku untuk menyerahkan kunci rumah. Khabarnya nama aku telah tersenarai. Seboleh-bolehnya aku ingin menyambut putra sulungku di sebuah rumah yang lebih selesa.

Thursday, October 29, 2009

Bukan salah Khamis

Aku tidak mempercayai bahawa adanya hari-hari tertentu yang membawa sial dalam kehidupan manusia. Contohnya pada hari Isnin tidak boleh potong kain kerana dibimbangi berlaku kesilapan akibat daripada kesialan hari tersebut. Mungkin juga musibah yang berlaku pada hari yang sama yang berulangkali terhadap seseorang yang menyebabkan ianya terus ditanam dalam hati seseorang itu hari tersebut sebagai hari sial. Mungkin kita boleh berhati-hati bila tiba hari yang tersebut,tetapi janganlah menamakan ianya hari yang sial. Ini soal aqidah!
Sebenarnya hari ini hari yang tidak menggembirakan sangat bagi aku. Pada awal pagi lagi aku telah gagal untuk mencucuk 'fistula' seorang pesakit dialysis yang pada mulanya aku menganggapnya sangat mudah.Tetapi malangnya aku gagal sebanyak tiga kali. Habis bengkak lengan Wong Sak Ying. Pada mulanya aku telah berjaya. Mungkin sewaktu hendak makan,lalu dia menggerakkan tangannya,jarum telah mengenai dinding 'vein'nya dan terus membengkak. Sungguh tidak seronok kerana dua kali percubaan selepas itu aku terus gagal mencari aliran darah yang 'smooth'. Perasaan ini terbawa-bawa sehinggalah waktu dhuha. Alhamdulillah..ia beransur hilang setelah perut diisi dengan sebungkus nasi lemak.
Mungkin aku akan lebih berhati-hati pada hari Khamis depan..

Tuesday, September 8, 2009

Teman Sejati

Pada minggu lepas aku telah menerima satu SMS daripada Abdullah, seorang kawan yang aku kenali di surau Al-Mawaddah dekat rumah. SMS itu berbunyi
'Assalamualaikum.U r missing solat (subuh berjemaah)from last 2days.Don't sleep too much.Try to come solat berjemaah.Insyallah..'
Message ini sangat ringkas tetapi mempersonakan. Jarang atau hampir tiada kawan yang sebegini, cuba mengingatkan tentang solat. Lebih-lebih lagi solat subuh. Rata-rata masyarakat bagaikan tidak mengetahui adanya sesi solat subuh berjemaah di surau-surau atau masjid pada setiap awal pagi. Termasuklah aku!!
Dalam hatiku,mungkin kawan seperti inilah yang disebut teman sejati. Abdullah sebenarnya berasal dari Pakistan,berbangsa pashtun. Dia seorang yang sangat taat solat berjemaah di surau. Kadang-kadang Abdullah lah menjadi bilal,imam dan ma'mun juga. Kerana Abdullah keseorangan di surau Al-Mawaddah. Ingin sekali aku menjadi taat seperti Abdullah..